Monday, June 29, 2009

ANAK DERHAKA


CERITA BENAR - AZAB ANAK DERHAKA HADAPI SAKARATUL

Sebaik sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya. Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya tidak mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke katilnya. Di sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang menangis tersedu-sedu. Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kecuali melihat Jalal menggelepar kesakitan dan berdoa semoga Jalal cepat sembuh. Di katil pula, Jalal meraung dan meronta sambil tangan dan kakinya terikat kemas di katil.

"Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami. Saya dah tak tahu apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya macam ni," kata salah seorang abang kepada Jalal sebaik melihat saya sampai.

Sebelum itu mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya segera datang untuk membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu mereka itu.

"Apa sakitnya ni?" tanya saya. "Entahlah ustaz, doktor pun tak tau."

Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit kesakitan. Kali ini jeritannya cukup jelas di pendengaran saya. Jeritannya menakutkan = dan menyedihkan.

"Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya sakit mak, sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya." Berserta raungan yang dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar seperti dipanggang di dalam api yang marak. Mukanya berkerut sementara matanya terbelalak akibat azab yang amat pedih. Semua yang ada di wad berkenaan memandang ke arah kami. Jeritan itu menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal jadi sedemikian rupa? Apa pula kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya?

"Panggil ibunya segera," kata saya.

Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma terdiam, menundukkan muka atau berpandangan sesama sendiri.

"Kenapa ni?" tanya saya.

Dengan perlahan abang Jalal bersuara, "Ustaz, ibu kami baru sahaja meninggal dunia dua minggu lepas."

"Kalau macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada melakukan kesalahan besar kepada ibunya, sebab itulah dia menanggung azab yang begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja yang dapat membantu," kata saya berterus terang.

Mereka cuma mendiam diri sementara jeritan Jalal semakin kuat. Saya semakin ingin mengetahui puncanya kerana dengan latar belakang itu insya-Allah saya boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan kesakitan Jalal.

"Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah berlaku."

"Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada arwah ibu kami," jawab salah seorang daripada mereka.

Dengan tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal menceritakan kepada saya kisah yang sebenarnya, kisah yang cukup menyayat hati saya. Menurutnya, Jalal adalah anak bongsu daripada mereka enam beradik, empat perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka, Jalallah yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, sejak kecil hinggalah dia bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa sahaja melawan dan menyanggah kata-kata ibunya. Nasihat dan teguran ibunya pula dipandang rendah serta tidak diendahkan. Syurga anak di bawah telapak kaki ibunya. Walaupun berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa sahaja kekurangan wang, seolah-olah tidak dirahmati rezekinya. Berterusanlah keadaan itu hingga dia berumahtangga. Keadaan menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan jawatannya di sebuah syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari rezeki yang lebih banyak di syarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja tidak berubah, malah menjadi semakin parah. Walau di syarikat manapun yang Jalal bekerja, dia akan menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada dia meletakkan jawatan. Dalam kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang daripada sahabat-sahabatnya. Selepas sekian lama hutangnya semakin banyak, namun dia masih tidak mampu melunaskannya. Rumahtangga Jalal mula kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Jalal mendesak ibunya supaya mencagarkan tanah mereka di kampung kepada bank. Tanah seluas 12 ekar itu ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.

"Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi RM500,000. Saya nak duit tu buat berniaga," katanya kasar.

"Jalal, engkau ni dah melampau. Itu tanah adik-beradik kamu," jawab si ibu.

"Ahhh, saya tak kira."

"Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit tu nanti bukannya engkau nak buat berniaga, tapi nak bayar hutang," jawab ibunya.

Bukan sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak membenarkannya mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang dengan hati kecewa. Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah berkenaan walau dengan apa cara sekalipun. Suatu hari, Jalal datang ke rumah ibunya. Beberapa orang adik-beradiknya ada di situ. Sekali lagi pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi yang amat menyedihkan. Ketika kemarahannya sampai kemuncak, Jalal menolak ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya terhantuk di pintu. Darah dari luka terpalit di pintu sedang ibunya terjelopok di lantai, rebah tidak sedarkan diri. Si ibu segera dibawa ke hospital sementara Jalal puas hati kerana dapat melepaskan kemarahannya. Akibat pendarahan otak yang serius, ibunya meninggal dunia tanpa sempat melafazkan keampunan kepada Jalal. Bermulalah azab dalam hidup Jalal. Kira-kira seminggu selepas kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke hospital kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang membingungkan ialah doktor gagal mengesan penyakit yang dihadapinya. Jalal sebaliknya meraung, menjerit, meronta dan menggelepar kesakitan. Dalam raungannya itulah dia meminta ampun kepada arwah ibunya kerana tidak sanggup menanggung azab yang pedih. Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga saya dipanggil. Dalam waktu itu, doktor dan jururawat tidak dapat berbuat apa-apa kecuali mengikat Jalal di katil dan menyuntiknya dengan ubat pelali untuk menidurkannya.

"Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain," kata saya.

Di samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin untuknya. Namun apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal menjerit kepanasan. Tubuhnya menggeletik dan menggelepar kesakitan.

"Aduh panasnya! Emak, ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke situ emak, panas. Jangan bawa saya ke situ. Saya tak mau, sakit, sakit. Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya bersalah."

Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang dimaksudkannya dengan 'ke situ'? Kenapa Jalal tidak mahu dibawa 'ke situ' dan apa yang dilihatnya di situ? Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal terpaksa dibogelkan. Tangan dan kakinya terus diikat ke katil. Selepas puas mencuba tapi keadaan Jalal masih tidak berubah, saya meminta diri untuk pulang. Satu ingatan saya tinggalkan kepada mereka, "Jika Jalal masih hidup selepas zuhur ini, insya-Allah nyawanya masih panjang. Kalau tidak..." Ketika itu lebih kurang pukul 10 pagi.

Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu, telefon bimbit saya berdering.

"Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah nazak," kata si abang.

Saya berpatah balik dan apabila sampai di katilnya, saya lihat Jalal begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan. Keluarganya semakin cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya bacakan Surah al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas serta asma ul husna. Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan menggelepar. Keadaan senyap seketika. Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Terbayang kelegaan di wajah mereka. Tiba-tiba, ketenangan itu dipecahkan sekali lagi oleh jeritan Jalal. Dia mengerang sambil tubuhnya kejang menahan kesakitan, mata terjegil seperti hendak terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi seluarnya. Bau najis menusuk hidung kami. Maha suci Allah, keadaannya adalah seperti sesuatu yang berat menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa, roh, najis, organ-organ dan segala-galanya yang ada di dalam tubuh terhambur keluar secara serentak. Di bahagian atas, semuanya seperti hendak terpancut keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di bahagian bawah, kakinya kaku dan najis berhambur memancut-mancut. Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian dan katil basah dengan air mata, peluh serta najisnya. Selepas 'rentapan' itu, Jalal tidak bernafas lagi. Degupan jantungnya berhenti dan dia pergi menghadap Allah SWT untuk menerima balasan amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak derhaka.

Saya cuma mampu melihat dengan gementar sementara keluarga Allahyarham menangis dan berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan terpaksa keluar kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka. Demikianlah sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang dijelaskan di dalam al-quran dan hadis, ia datang dengan menyentap, merentap dan merenggut nyawa Jalal tanpa ada kasihan belas. Sudah berpuluh-puluh tahun saya menguruskan jenazah dan melihat orang menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman menyaksikan sakaratulmaut menjemput Jalal cukup memilukan hati saya. Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal sudah berakhir, namun mayatnya meninggalkan keaiban yang amat sangat. Matanya terbonjol seperti hendak terkeluar sementara giginya menyeringai. Dari kerut wajahnya, jelas sekali Allahyarham baru sahaja menanggung kesakitan dan azab yang amat pedih. Saya cuba pejamkan mata Allahyarham, namun gagal. Kelopak mata tidak berupaya untuk menutup biji matanya yang tersembul itu. Cukup mengerikan kerana hanya mata putih sahaja yang kelihatan. Ikatan di kaki dan tangan Allahyarham dileraikan dan tangannya dikiamkan. Kaki Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi saya menyaksikan keaiban kaki Allahyarham tidak boleh dirapatkan kerana duburnya terpancut keluar dan membonjol di celah kelengkangnya. Saya menenangkan mereka supaya bersabar dan reda dengan apa yang telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh Allahyarham, jenazah dibawa turun kerana keluarganya mahu menguruskan jenazah tersebut di rumah mereka di salah sebuah taman perumahan di sebuah negeri di pantai barat semenanjung. Rupa-rupanya keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van yang membawa Allahyarham keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba keempat-empat shock absorbernya patah secara serentak. Van yang cuma membawa lima orang, mayat yang badannya sederhana sahaja, dua orang abang dan kakaknya, pemandu serta seorang pembantu, boleh patah shock absorbernya? Kelindan van bergegas memanggil kami. Maha suci Allah, Tuhan yang Maha Besar, apabila hendak dikeluarkan dari van, jenazah itu kami rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat oleh kira-kira 15 orang. Selesai masalah itu, satu lagi masalah timbul - tidak ada van atau kereta yang berani untuk mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan sebuah lori kosong yang mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit lalu di tempat kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke rumahnya. Apa yang membingungkan kami ialah walaupun mayat berkenaan terlalu berat, tapi kayu penusungnya tidak pula patah. Lori bertolak ke rumah Allahyarham sementara saya pula memandu pulang ke rumah. Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan

di sebelah kubur ibunya. Namun diceritakan juga kepada saya bahawa tanah yang ditambun ke atas kuburnya tidak mencukupi. Untuk mengelakkan kubur Allahyarham berlubang, tanah lain terpaksa diambil dan ditambur ke atasnya.

Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada keluarga Allahyarham.

"Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan daripada ustaz."

"Apa masalahnya itu?" tanya saya.

"Kubur adik saya berlubang ustaz."

Masya-Allah, demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan kepada anak yang derhaka kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham, kewujudan lubang itu disedari sehari selepas Allahyarham dikebumikan. Lubang tersebut bermula dari bahagian tengah kubur hinggalah mencecah kepada papan yang menutup liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi, mereka mengambusnya dengan tanah, namun keesokan harinya kubur tersebut berlubang semula.

"Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan ke dalam lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang lagi," kata saya.

Namun keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi saya memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak berubah, masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu dikebumikan. Bukan itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur ibunya juga hidup segar sedangkan pokok yang ditanam di kubur adiknya mati kelayuan. Pada hari kelima, saya menghubungi abang Allahyarham.

"Begini sajalah," kata saya. "Mulai malam ini buatlah majlis Yassin dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap seorang baca Surah Yassin sebanyak 2 kali. Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan doa supaya diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam bahasa Melayu dan ulang doa itu sebanyak tujuh kali."

Seperti yang saya nasihatkan, pada malam berkenaan mereka mengadakan majlis itu. Namun saya diberitahu, imam yang membaca doa tersebut menggigil ketakutan. Alhamdulillah, pada hari ketujuh, kubur berkenaan tidak lagi berlubang. Peristiwa ini sudah berlaku empat tahun lepas namun masih terbayang-bayang di mata saya. Setiap kali tibanya hari raya aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa tersebut menjelma dalam ingatan kerana ia terjadi cuma beberapa hari selepas kita berhari raya. Sungguh menyentuh hati saya, ketika orang sedang bergembira berhari raya, ketika itulah keluarga tersebut ditimpa petaka, si ibu meninggal dunia dan anaknya yang derhaka diazab hingga ke akhir hayatnya.

Kisah ini saya paparkan bukan untuk mengaibkan Allahyarham ataupun keluarganya, tapi supaya kita dapat mengambilnya sebagai pedoman dan iktibar. Doakanlah semoga dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah

Nasihat-Nasihat Menasihati


Ad Din Sebagai Nasihat
Nasihat merupakan suatu perkara wajib bagi tiap-tiap individu. Nasihat bermakna memelihara hati orang yang diberi nasihat dan suci daripada tipu daya serta khianat. Nasihat juga merangkumi perkara-perkara berkaitan Islam, Iman dan Ihsan. Nabi menyarankan sasaran nasihat iaitu nasihat kepada Allah dengan cara menunaikan segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Nasihat kepada kitab Allah (Al-Qur'an) dengan cara mempelajari, memahami dan mengamalkan apa sahaja hukum yang terdapat di dalamnya. Seterusnya mengajar dan menyampaikan kepada orang lain. Nasihat kepada Rasulullah s.a.w dengan cara mentaati segala sunnah baginda yang ditinggalkan kepada kita dan menerima sunnah baginda yang ditinggalkan kepada kita dan menerima sunnah seiring dengan Al-Qur'an. Kita bukan sahaja diwajibkan mentaati Baginda sewaktu hidup bahkan setelah baginda wafat pun ketaatan wajib dilakukan. Nasihat kepada imam-imam orang Islam (pemimpin atau pemerintah) dengan cara menasihati mereka agar barlaku baik dalam pemerintahan. Jujur dan ikhlas dalam menerajui masyarakat. Menegakkan makruf dan menjauhi mengkar, ketaatan untuk mereka hanya berlaku apabila pemerintah mengamalkan apa yang dituntut oleh Allah s.w.t. Kita wajib mentaati mereka selagi mana pemerintahan mereka tidak keluar dari syariat Islam.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Sesiapa yang tidak mementingkan urusan orang Islam, maka ia bukan dari kalangan mereka, sesiapa yang diwaktu-waktu pagi dan petang tidak menasihati tentang Islam, Rasul dan Kitabnya kepada imam (pemimpinnya) dan orang-orang awam, maka ia bukan dari kalangan mereka."
Dewasa ini amalan nasihat menasihati di kalangan kita telah mula pudar. Sikap ego dan sombong menyebabkan hati tertutup daripada menerima nasihat, kita ingat kitalah manusia yang sempurna serta tidak perlu ditegur. Apabila di nasihat atau ditegur kita akan mudah melenting. Bukankah itu satu perkara yang merugikan kita. Sebenarnya tiap-tiap manusia memerlukan nasihat, kita tidak dapat menilai diri kita kerana kita bukannya manusia yang sempurna dalam setiap aspek. Hanya orang lain yang memandang kita sahaja yang dapat menilai serta membantu kita dalam proses untuk menjadi manusia yang hampir kepada kesempurnaan. Menerima nasihat bukan bermakna kita akan dipandang hina tetapi menerimanya merupakan amanah serta kepercayaan orang ramai terhadap kita.
Justeru itu, marilah kita sama-sama kita membuka serta melapangkan hati seluas-luasnya bagi menerima apa sahaja nasihat dan kritikan daripada saudara kita. Sesungguhnya nasihat itu bertujuan untuk membina peribadi muslim serta mengingatkan kita kepada kekuasaan Allah Ta'ala.

Saturday, June 27, 2009


4 Golongan Lelaki

Pertama:- Ayahnya

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat..... tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.

Kedua:- Suaminya

Apabila seorang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram, apabila suami mendiam diri...... walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya.

Ketiga:- Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pula abang-abangnya..... jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempua! ! nnya dibiar melencong dari ajaran ISLAM .... tunggulah tarikan adiknya di akhirat.

Keempat:- Anak Lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak....... nantikan tarikan ibunya. Maka kita lihat bertapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat... maka kaum lelaki yang bergelar ayah / suami / abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar tidak silap firman ALLAH S. W. T.

Friday, June 26, 2009

Jenazah bapa Naib Presiden PAS selamat dikebumikan
Irwan Muhammad Zain
Fri | Jun 26, 09 | 12:14:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Hrkh)- Bapa Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob selamat dikebumikan jam 11.00 pagi tadi setelah menghembus nafas terakhirnya kira-kira pukul 12.15 malam tadi.

Allahyarham Haji Ayob Omar, 75 terlantar di hospital kira-kira tiga bulan yang lalu setelah mengalami kemalangan jalanraya.

Beliau meninggalkan seorang balu, Aminah Abdullah, 60, dan tiga orang anak serta 13 orang cucu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, Johor pada pukul 11.00 pagi tadi./wan

Wednesday, June 24, 2009

Wasiat Rasulullah


Ahmad telah menceritakan :


"Telah menceritakan kepada kami oleh 'Amru bin Hafsah dan Abu Naar dari
Muhammad bin

Al-Haitham dari Ishak bin Hanjih, dari Husaif dari Mujahid
daripada Al-Khudri yang berkata : "Rasulullah s.a.w. telah berwasiat kepada
Saidina Ali bin Abi Talib r.a di mana baginda telah bersabda :

1. "Wahai Ali, bila pengantin perempuan masuk ke dalam rumahmu, maka
(suruh ia) tanggalkan kasutnya ketika ia duduk dan (suruh ia) membasuh
kedua-dua kakinya. Maka sesungguhnya apabila kamu berbuat demikian Allah
mengeluarkan tujuh puluh ( 70 ) jenis kefaqiran dari rumah kamu, dan Allah
s.w.t. menurunkan tujuh puluh ( 70 ) rahmat
yang sentiasa menaungi di atas kepala pengantin sehingga sentiasa
keberkatan itu meratai setiap penjuru rumahmu dan pengantin itu sejahtera
dari penyakit gila, sawan (gila babi) dan sopak selama
mana ia berada di dalam rumah tersebut. Laranglah pengantin itu daripada
memakan dan meminum empat ( 4 ) jenis makanan ini
pada minggu pertama perkahwinan iaitu :

1. Susu 2. Cuka 3.Ketumbar 4. Epal Masam

Saidina Ali r.a bertanya :
"Wahai Rasulullah, mengapakah empat jenis makanan ini dilarang..?"

Baginda menjawab :
"Kerana rahim perempuan itu kering dan sejuk, dengan sebab dari empat
perkara (makanan) ini untuk menghalang dari dapat anak. Sesungguhnya
tikar di penjuru rumah adalah lebih baik daripada perempuan yang tidak
dapat anak."

Saidina Ali r.a bertanya :
"Wahai rasulullah, mengapakah cuka itu di larang..? (semasa haid dan
semasa minggu pertama perkahwinan)."

Baginda menjawab :
"Apabila ia minum cuka semasa haid, sesungguhnya haidnya itu tidak akan
bersih selama-lamanya secara sempurna.

Mengenai ketumbar ia mengganggu haid di dalam perutnya dan
menyukarkan kepadanya kelahiran.

Tentang epal masam, ia memotong haid sebelum masanya maka menjadikan
haid itu berlalu begitu saja dengan sebabnya."

2. "Wahai Ali..! janganlah engkau berjima' dengan isterimu pada awal
(hari pertama) bulan, pada pertengahannya (sehari) dan pada akhir (dua
hari) di hujung bulan. Maka sesungguhnya penyakit gila, gila babi dan sopak
mudah mengenainya dan anaknya."

3. "Wahai Ali..! janganlah berjima' dengan isterimu selepas zohor,
sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak kerana
jima' pada waktu itu, maka ia akan bermata juling dan syaitan sangat suka
kepada manusia yang bermata juling."

4. "Wahai Ali..! janganlah bercakap-cakap semasa jima', sesungguhnya
jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak dengan jima' yang
demikian, maka anak itu tidak selamat daripada bisu."

5. "Wahai Ali..! janganlah lihat kepada faraj perempuanmu dan jagalah
pandanganmu sewaktu berjima', (jika tidak) sesungguhnya mewarisi buta iaitu
anak."

6. "Wahai Ali..! janganlah berjima' dengan perempuanmu dengan syahwat
terhadap perempuan lain, maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah
s.w.t. mengurniakan kepadamu berdua anak, anak itu akan menjadi pondan yang
bersifat benci dan hina."

7. "Wahai Ali..! jika kamu berjunub di tempat tidur, janganlah membaca
Al-Quran, maka sesungguhnya aku bimbang akan turun kepada kamu berdua api
(bala) dari langit yang membakar kamu berdua."

8. "Wahai Ali..! janganlah berjima' dengan isterimu kecuali ada padamu
satu tuala dan pada isterimu satu tuala."

9. "Wahai Ali..! janganlah kamu berdua menyapu dengan menggunakan satu
tuala, nanti akan jatuh syahwat keatas syahwat (salah seorang akan kuat
syahwatnya daripada yang lagi satu), maka sesungguhnya yang demikian itu
akan mengakibatkan permusuhan kemudian membawa kamu berdua kepada berpecah
dan talak."

10. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu secara berdiri,
maka sesungguhnya yang demikian itu daripada perbuatan keldai, jika Allah
s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, maka anak itu sentiasa kencing
di tempat tidur seperti keldai yang suka kencing di merata-rata tempat."

11. "Wahai Ali..! janganlah berjima' dengan isterimu pada malam 'Aidil
Fitri (Raya Puasa), maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada
kamu berdua anak anak itu seorang yang cacat dan tidak mendapat anak
baginya kecuali sudah tua."

12. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu pada malam
'Aidil Adha, maka sesungguhnya jika kamu berdua berjima' pada malam
tersebut, apabila Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, aku
bimbang ia akan menjadi seorang yang berjari enam atau empat."

13. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu di bawah cahaya
matahari (secara langsung) dan terkena warna (cahayanya), kecuali kamu
mengenakan tutupan (bumbung), jika tidak maka sesungguhnya kalau Allah
mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti anak itu akan menjadi seorang
sentiasa hidup dalam meminta-minta dan faqir sehingga mati."

14. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu di bawah pohon
kayu yang berbuah, maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kamu
berdua anak, nanti anak itu akan menjadi seorang tukang gojo ( algojo),
tukang sebat atau seorang ketua yang bengis,"

15. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu sewaktu antara
azan dan iqamah, jika berjima' pada waktu demikian,sesungguhnya jika Allah
mengurniakan anak pada kamu berdua, nanti ia menjadi seorang yang
menumpahkan darah."

16. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu semasa ia hamil
kecuali kamu berdua berwudhu', jika tidak maka sesungguhnya jika Allah
s.w.t. mengurniakan kamu berdua anak, nanti ia akan menjadi seorang yang
buta hati dan bakhil tangan."

17. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu pada
pertengahan (Nisfu) Sya'ban, maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah
s.w.t. mengurniakan kamu berdua anak,nanti anak itu akan mempunyai tanda
yang jelek pada muka dan rambutnya."

18. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu pada akhir
bulan (yakni tinggal dua hari) maka sesungguhnya yang demikian itu jika
Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti anak tersebut
menjadi seorang yang sentiasa perlu meminta-minta."

19. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu dengan syahwat
terhadap saudara perempuannya (ipar kamu) kerana yang demikian itu
sesungguhnya kalau Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti
anak itu akan menjadi penolong dan pembantu kepada orang yang zalim dan
pada tangannya membuat kebinasaan kepada manusia."

20. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu di atas loteng
maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah s.w.t. mengurniakan anak
kepada kamu berdua nanti anak itu menjadi seorang munafiq, pelampau yang
melewati batas."

21. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu pada malam kamu
hendak keluar musafir kerana yang demikian itu sesungguhnya kalau Allah
s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, ia akan membelanjakan harta
kepada yang tidak Haq," dan Rasulullah s.a.w. membaca ayat Al-Quran :
"Innal Mubazziriina kaanu ,ikhwan Nas, Syayathin."

22. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu bila kamu
keluar bermusafir dalam tempoh tiga hari tiga malam, maka yang demikian itu
sesungguhnya bila Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti
ia menjadi seorang pembantu kepada setiap orang yang zalim."

23. "Wahai Ali..! janganlah kamu berjima' dengan isterimu pada awal
malam, maka sesungguhnya jika dikurniakan anak kepada kamu berdua, ia
menjadi seorang tukang sihir, songlap, dan menghendaki dunia daripada
akhirat."


ANJURAN BERJIMA'

24. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu bacalah : "Allahumma
Jannibnis Syaitan Wajanibis Syaitan Mimma Rozaktani." Maka yang demikian
itu kalau Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu anak, tidak dimudaratkan
oleh syaitan terhadapnya selama-lamanya."

25. "Wahai Ali..! hendaklah kamu berjima' dengan isterimu pada malam
Isnin maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua
anak, ia akan menjadi seorang yang berpegang teguh kepada kitab
Allah(Al-Quran) dan redha terhadap segala pemberian Allah s.w.t. (baik dan
buruk Qada' dan Qadar Allah)."

26. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu pada malam
Selasa,Allah s.w.t. akan memberi kepada kamu berdua anak yang mendapat
nikmat Mati Syahid sesudah syahadah : 'Anla ilahaillallah wa anna Muhammada
ar-Rasulullah' dan Allah s.w.t. tidak azabkannya (turun bala
kepadanya)bersama-sama orang musyrikin, mulutnya berbau harum yang akan
melembutkan hati orang, bersih lidahnya daripada mengumpat, berdusta dan
mengadu-domba.

27. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu malam Khamis, maka
Allah s.w.t. akan mengurniakan kepada kamu berdua anak yang bijaksana, atau
seorang yang alim,di kalangan orang-orang yang alim."

28. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu sewaktu matahari di
tengah langit, Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua seorang anak
yang tidak di hampiri syaitan sehingga ia beruban (tua) dan menjadi seorang
yang faqih serta Allah s.w.t. rezekikan kepadanya keselamatan agama dan
dunia."

29. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu pada malam Jumaat
dan nanti anak kamu berdua adalah seorang pemidato yang berwibawa dan petah
berkata-kata.

30. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu pada hari
Jumaat,selepas Asar, Allah s.w.t. akan kurniakan seorang anak yang
terkenal,masyhur dan alim."

31. "Wahai Ali..! jika kamu berjima' dengan isterimu pada malam Jumaat
selepas Isyak yang akhir, maka sesungguhnya di harapkan anakmu nanti
menjadi seorang yang abdal (terkemuka),"


"WAHAI ALI PELIHARALAH WASIATKU INI SEBAGAIMANA AKU TELAH
MEMELIHARANYA DARI JIBRIL A.S."


* Petikan dari Al-Ikhtisyaah (ms.132-135), As-Saduq, Al-Faqih
(ms.456) dan Al- Ilal (ms.174).

Syukur


Muslimat Petra Jaya bersyukur apabila sedikit ketegangan di kalangan pimpinan PAS Pusat telah berjaya dileraikan secara bijaksana. Perangkap yang cuba dipasang oleh pihak lawan berjaya dihidu dan akhirnya perangkap tersebut dapat patahkan.

Muslimat Petra Jaya yang baru mula masuk gelanggang akan sentiasa akur dengan keputusan yang dibuat oleh pimpinan dan akan memberi sokongan padu.

Dewan Muslimat Petra Jaya

Alhamdullilah, PAS Kawasan Petra Jaya telah berjaya menubuhkan satu lagi sayap utama iaitu Dewan Muslimat Petra Jaya. Insya Allah muslimat akan bergerak ke hadapan dalam menyampaikan dakwah dan siasah islamayiah terhadap masyarakt Sarawak.