Tuesday, October 13, 2009

MEDIA BARU (INTENET) BANTU PAS ?

Posted on Monday, October 12 @ 07:58:23 PDT by paktam
Oleh ANIS NAZRI


KUALA LUMPUR: Selain faktor calon Barisan Nasional (BN), penglibatan media baru yang dilihat tidak banyak menyumbang kepada Pakatan Rakyat dikatakan antara faktor kekalahan PAS pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, 11 Oktober lalu.Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah berkata peranan media baru dalam membantu PAS menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan pihak lawan dikatakan tidak banyak membantu, berbanding pada pilihan raya kecil sebelum ini.


"Ini tidak bererti, media baru menyebelahi BN. Tetapi mereka agak kurang berperanan dalam membantu kempen PAS pada pilihan raya kecil kali ini, berbanding sebelum ini" tegas beliau ketika dihubungi Harakah.

Mengupas lanjut faktor kekalahan PAS selepas menang bergaya ke atas tujuh pilihan raya kecil, Abu Hassan berkata kelemahan jentera penerangan di kalangan Pakatan Rakyat juga menjadi sebab kekalahan tersebut.

Katanya, tiada sokongan yang cukup kuat di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah menimbulkan masalah strategi, selain menunjukkan Pakatan Rakyat belum bersedia untuk berfungsi sebagai sebuah parti yang mantap bagi pilihan raya umum ke-13.

Abu Hassan juga menegaskan kegagalan PAS di Bagan Pinang ini juga merupakan petunjuk bahawa masyarakat mengalami kekeliruan serius hasil krisis yang berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Kekeliruan pengundi melihat krisis-krisis berkenaan, seperti kes Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, krisis di Selangor, menjadikan mereka agak bimbang dan berhati-hati untuk memihak kepada Pakatan Rakyat, khususnya pengundi muda," kata beliau lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata kemenangan BN di Bagan Pinang itu bukanlah kekuatan BN atau kelemahan PAS, tetapi sebenarnya petunjuk tentang kuasa pengundi yang boleh berubah sekelip mata.

Justeru, kata Abu Hassan, sudah sampai masanya Pakatan Rakyat menilai semula strategi untuk berhadapan dengan rakyat kerana masyarakat kini bergerak dan tidak fanatik kepada mana-mana parti.

Jelas beliau, apabila rakyat berasa kurang yakin dengan mana-mana parti, maka keputusan seperti di Bagan Pinang akan berlaku di mana-mana pilihan raya bagi mereka membuktikan kuasa di tangan mereka.

"Sebab itu saya katakan, kemenangan di Bagan Pinang ini bukanlah merupakan kebangkitan BN, tetapi isyarat dan petunjuk kepada semua parti kuasa yang berada di tangan pengundi, dan mereka boleh berubah pendirian bila-bila masa sahaja," tegas beliau.

Cerita-Cerita Di bagan Pinang

Posted on Monday, October 12 @ 08:04:06 PDT by paktam
Oleh jinbukitridan



“Keluar! Keluar! Ini tanah aku dan aku tak izinkan ngko parking kat sini…ngko alih cepat kalau tak nanti tahulah aku nak buat macam mane…aku bakar nanti! " Baik ngko alih cepat!” …Itu antara kata-kata aluan di hari pertama kami sebaik menjejakkan kaki ke Bagan Pinang. Puncanya salah sebuah kereta petugas Pas (agaknya) meletakkan keretanya di hadapan rumah seorang penduduk di situ.

Rumah itu kelihatan kosong dan seakan ditinggalkan barangkali menjadi sebab sahabat itu meletakkan kenderaannya di situ. Tanpa ingin memanaskan keadaan sambil meminta maaf sahabat itupun mengalihkan keretanya.

Saya yang ada berdekatan terkejut melihat aksi yang di luar kebiasaan orang Melayu ini. Sejurus kemudian selang beberapa saat kelihatan di jalanraya berlaku pergaduhan antara ‘Tuan Tanah’ tersebut dengan seorang yang lain pula dan cepat-cepat disuraikan oleh petugas Pas dan pihak Polis.

Satu lagi pengalaman pahit yang dihadapi penulis ialah apabila melihat seorang ibu tua yang sakit ditengking oleh anaknya sendiri di hadapan orang ramai. Peristiwa berlaku di Markas Dewan Ulama di mana ibu tua tersebut datang ke situ untuk mendapatkan rawatan alternatif melalui Doa-doa yang ditawarkan di situ.

Semasa ibu itu duduk untuk mendapatkan rawatan tiba-tiba datang seorang lelaki (dipercayai anaknya lingkungan 20 an) menaiki basikal sambil mengherdik “ Mak! Mak buat apa kat sini??? Balik!” dengan wajah yang masam mencuka.

“Mak nak berubat” Jawab ibu tua tersebut denga perlahan. “Balik!!!” Sekali lagi pemuda itu menengking ibunya dan dengan wajah sedih ibu tua tersebut berlalu pergi. Barangkali beliau takut ibunya akan mengundi Pas!

Peristiwa ini diperhatikan oleh ramai petugas Pas yang sedang membuat persiapan untuk program munajat di malam tersebut. Terkedu dan tergamam hati kami melihat insiden tersebut malah di hati saya berdebar takut Allah menurunkan balanya akibat penderhakaan tersebut di saat saya berada di sana. Maklumlah sekarang kerap sangat Tsunami , gempa-bumi dan ribut taufan berlaku di sekitar kita.


Itu antara rencah di luar kebiasaan yang boleh ditonton oleh sekalian petugas yang hadir ke sana. Di kaca TV dilaporkan petugas Pas yang mengganas! Ini sangat tidak adil dan memusingkan fakta 180 darjah!

Rata-rata petugas Pas kelihatan berdisiplin dan amat menjaga tingkah-laku mereka dalam menyantuni masyarakat tempatan mahupun petugas lawan. Tidak ada satu insiden pun sama ada pergaduhan atau provokasi yang berlaku di Bagan Pinang berpunca daripada petugas Pas. Tidak ada. Masyarakat Malaysia berhak untuk mengetahui keadaan sebenar selain putar belit media yang berat sebelah.

Insiden petugas Pas diserang di Markas mereka sendiri! , insiden pihak yang menyerang anggota Polis berpakaian biasa yang disangkakan petugas Pas dan sebagainya dilaporkan dalam keadaan yang terbalik daripada kejadian asal. Hebat permainan media yang tidak memikirkan etika , moral , Dosa dan Pahala. Alangkah baiknya jika Pas dan PR mempunyai media cetak dan saluran TV sendiri untuk memberikan pilihan maklumat kepada rakyat.


Adalah tidak adil jika label ganas di labelkan untuk Pas memandangkan keganasan yang dilakukan semuanya berpunca daripada pihak lain. Malah tidak dapat dinafikan tidak ada parti lain di Malaysia ini yang boleh mendisiplinkan ahlinya seperti yang dilakukan Pas.

Walaupun diprovoke dengan berbagai cara namun pimpinan tetap menasihatkan agar akhlak Islam yang diperjuangkan dijaga. Sabar dan bertolak ansur…itulah pendekatan yang diambil dengan harapan rakyat Malaysia dan pengundi di Bagan Pinang khususnya dapat menilai sendiri siapakah yang benar dan salah. Tapi malangnya mereka didedahkan dengan cerita yang sebaliknya oleh TV dan suratkhabar yang tidak amanah.

PAS TERIMA KEKALAHAN DI BAGAN PINANG

Posted on Tuesday, October 13 @ 10:08:12 PDT by Paktam
Oleh Mohd Zuharman



Selepas lapan kali menafikan kemenangan menjadi milik parti lawan, 11 Oktober lepas PAS terpaksa akur pada kekalahan selepas pilihan raya kecil (PRK) Dun Bagan Pinang tidak berpihak kepadanya. Dan PAS sesungguhnya sudahpun menerima realiti itu dengan dada lapang.Walaubagaimanapun ia menolak pelbagai dakwaan serta spekulasi kononnya kekalahan itu adalah gambaran awal kerapuhan Pakatan Rakyat (PR) menghadapi pilihan umum ke 13 akan datang.


Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semasa memberi responnya berhubung perkara itu menyifatkan kalah atau menang adalah adat di dalam sebuah perjuangan, seraya mengakui bahawa PAS menghadapi tentangan kuat daripada Umno pada PRK kali ini.

“Kita terima kekalahan ini. Tak apa. PAS tidak pernah lupa pada falsafah, menang tidak bererti selama-lamanya akan terus menang. Begitu juga kalah. Kelantan pun sebelum ini pernah kalah tetapi akhirnya mampu bangkit semula” katanya ketika diminta mengulas kekalahan PAS pada PRK Dun Bagan Pinang.

Pada PRK tersebut PAS melalui calonnya, Zulkefly Mohamad Omar, gagal mengulangi momentum PRK Kuala Terengganu dalam usaha menawan Dun Bagan Pinang apabila tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Isa Samad, dengan majoriti 5,435 undi.

Mohd Isa yang mendapat 8,013 undi berbanding Zulkefly, 2,578 sekaligus berjaya menambah majoriti yang diperolehi pada pilihan raya umum 2008 sebanyak 2,333.

Sehubungan itu Nik Aziz memberitahu PAS dicengkam hebat oleh Umno apabila sistem informasi dimiliki PR agak terbatas. Justeru, penyebaran maklumat secara meluas gagal dilaksanakan dengan tersusun.

Semasa mengulas PRK Dun Bagan Pinang yang dianggap sebagai PRK terburuk berbanding beberapa PRK di adakan sebelum ini berikutan dicemari beberapa insiden beliau rasa amat dukacita dan berharap sikap buruk yang tidak bermoral seperti itu dapat dibendung dengan lebih berkesan pada masa-masa akan datang.

Proses pengundian Dun Bagan Pinang dicemari beberapa insiden buruk seperti membaling batu dan botol menimbulkan kekecohan melampau menyebabkan berlakunya pergaduhan antara penyokong parti bertanding sehingga mencederakan orang awam telah secara tidak langsung mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, mengulas kemenangan BN pada PRK tersebut adalah bukti undi pos masih dimanipulasi oleh BN demi kemenangannya.

Beliau berhujah melalui justifikasinya di mana seorang pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang pernah ditemuinya dulu mengakui telah membawa usul agar undi pos dihapuskan, namun ia ditolak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana baginya undi pos adalah survival bagi BN.

“Dan undi pos di Bagan Pinang peratusnya adalah sangat tinggi. Maka tidak mustahil senario itu terus dipraktikkan oleh BN bila dikaitkan dengan kenyataan tersebut” ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin, menyifatkan kemenangan besar Isa sebagai tanda permulaan perubahan sokongan rakyat kepada BN setelah mengalami kekalahan hampir ke semua PRK diadakan sebelum ini kecuali satu iaitu di Batang Ai.

Kemenangan Isa yang menyapu bersih kawasan pengundi bukan Melayu turut meyakinkan beliau bahawa sokongan masyarakat India, Cina dan lain-lain bangsa menunjukkan kepercayaan mereka terhadap kepimpinan kerajaan BN.

Walau apapun, rasionalnya Umno belum layak mendabik dada menyatakan kemenangan besar di Bagan Pinang, kerana nisbah kekuatannya itu belum mampu memberi kesan perubahan kepada kerusi di parlimen mahupun negeri.

Dan PAS seharusnya tidak alpa untuk mengingatkan bahawa Bagan Pinang hampir merobek personaliti partinya.themalaysianinsider