Saturday, July 18, 2009

MARILAH KITA KEMBALI KEPADA PEJUANGAN

TAATILAH PEMIMPIN MU

Meneliti kepelbagaian ragam dan perilaku ahli-ahli PAS sejak PAS mencapai kemenangan dalam pilihanraya 2008 yang lalu hinggalah ke Muktamar Tahunan PAS yang ke 55 didapati tahap pengamalan akhlak jamaie agak kurang memuaskan.

Tanpa menyentuh mana-mana pihak dan peribadi, bermula daripada ahli-ahli, penyokong, pendokong, para blogger hinggalah kepada peringkat kepimpinan parti, sedarilah dan kembalilah semula mengingatkan diri kita sewaktu kita masing-masing berjuang dalam kesusahan dan penderitaan.

Bukankah waktu itu kita amat berpegang kuat kepada konsep akhlak jamaie yang menjadi pengimbang kepada kepelbagaian ragam dan karenah kita selaku para pejuang Islam melalui wadah (PAS).

Bukankah dahulunya kita adalah pejuang yang taat, wala' dan sering berlapang dada dengan mana-mana arahan dalam keadaan suka atau pun tidak. Bukankah dahulunya kita sesekali tidak pernah menyatakan pendapat peribadi melainkan hanya dalam muzakarah dan mesyuarat. Bukankah dahulunya hanya suara yang satu dan jitu kita lontarkan kepada media Massa dan rakyat melalui hasil syura dan mesyuarat AJK PAS Pusat tanpa ada yang mendahului Presiden.

Bukankah dahulunya kita tidak pernah melontarkan perbezaan pandangan melainkan hanya dalam mesyuarat. Bukankah setelah itu nada dan suara kita adalah sama dan seiring menghamburkan mauqif dan suara keramat untuk semua manusia.

Bukankah dahulunya kita mengamalkan bahawa "Sesuatu yang kita suka tetapi boleh membawa kepada perpecahan wajib dielakkan, sesuatu yang kita benci tetapi ia membawa kepada kesatuan wajib dipertahankan".

Bukankah dahulu kita tidak pernah bersuara lantang mengkhabarkan kepada manusia tentang masalah dalaman jamaah. Bukankah dahulunya kita tidak pernah menyindir dan mengkritik secara terbuka tentang apa yang berlaku sesama kita hasil kepelbagaian ragam para pejuang melainkan kita bermuhasabah sesama kita.

Bukankah dahulunya kita sering dilanda dilema dan kelam kabut akibat saraf musuh,semua ahli dalam kebingungan menghadapi kemelut kepelbagaian pendapat dan borak-borak politik yang menyerabutkan kepala, akhirnya kita pasti akan menunggu kalam penyudah dari Presiden atau Mursyidul A'm. Semuanya akan kembali tenang dan teguh setelah mendengar penjelasan dan kalam mursyid dari pemimpin tertinggi. Kemelut selesai dan semuanya kembali berkerja.

Bukankah dahulunya segala-galanya kita hadapi dan selesaikan dengan penuh ukhuwwah dan berlapang dada. Tidak ada bunyian lain setelah itu melainkan hanya terdengar laungan suara "Tukang Arah" dan sahutan "Pekerja-Pekerja" yang girang melaksanakan arahan "Tukang Arah". Kalau ada yang tidak berpuas hati kita senyap-senyap berjumpa dan berbincang dengan "Tukang Arah". Setelah selesai suara "Tukang Arah" bergema lagi dan sahutan girang para "Pekerja" kembali menggamatkan suasana. Bukankah itu lebih harmoni.

No comments:

Post a Comment