TAATILAH PEMIMPIN MU Meneliti kepelbagaian ragam dan perilaku ahli-ahli PAS sejak PAS mencapai kemenangan dalam pilihanraya 2008 yang lalu hinggalah ke Muktamar Tahunan PAS yang ke 55 didapati tahap pengamalan akhlak jamaie agak kurang memuaskan.
Tanpa menyentuh mana-mana pihak dan peribadi, bermula daripada ahli-ahli, penyokong, pendokong, para blogger hinggalah kepada peringkat kepimpinan parti, sedarilah dan kembalilah semula mengingatkan diri kita sewaktu kita masing-masing berjuang dalam kesusahan dan penderitaan.
Bukankah waktu itu kita amat berpegang kuat kepada konsep akhlak jamaie yang menjadi pengimbang kepada kepelbagaian ragam dan karenah kita selaku para pejuang Islam melalui wadah (PAS).
Bukankah dahulunya kita adalah pejuang yang taat, wala' dan sering berlapang dada dengan mana-mana arahan dalam keadaan suka atau pun tidak. Bukankah dahulunya kita sesekali tidak pernah menyatakan pendapat peribadi melainkan hanya dalam muzakarah dan mesyuarat. Bukankah dahulunya hanya suara yang satu dan jitu kita lontarkan kepada media Massa dan rakyat melalui hasil syura dan mesyuarat AJK PAS Pusat tanpa ada yang mendahului Presiden.
Bukankah dahulunya kita tidak pernah melontarkan perbezaan pandangan melainkan hanya dalam mesyuarat. Bukankah setelah itu nada dan suara kita adalah sama dan seiring menghamburkan mauqif dan suara keramat untuk semua manusia.
Bukankah dahulunya kita mengamalkan bahawa "Sesuatu yang kita suka tetapi boleh membawa kepada perpecahan wajib dielakkan, sesuatu yang kita benci tetapi ia membawa kepada kesatuan wajib dipertahankan".
Bukankah dahulu kita tidak pernah bersuara lantang mengkhabarkan kepada manusia tentang masalah dalaman jamaah. Bukankah dahulunya kita tidak pernah menyindir dan mengkritik secara terbuka tentang apa yang berlaku sesama kita hasil kepelbagaian ragam para pejuang melainkan kita bermuhasabah sesama kita.
Bukankah dahulunya kita sering dilanda dilema dan kelam kabut akibat saraf musuh,semua ahli dalam kebingungan menghadapi kemelut kepelbagaian pendapat dan borak-borak politik yang menyerabutkan kepala, akhirnya kita pasti akan menunggu kalam penyudah dari Presiden atau Mursyidul A'm. Semuanya akan kembali tenang dan teguh setelah mendengar penjelasan dan kalam mursyid dari pemimpin tertinggi. Kemelut selesai dan semuanya kembali berkerja.
Bukankah dahulunya segala-galanya kita hadapi dan selesaikan dengan penuh ukhuwwah dan berlapang dada. Tidak ada bunyian lain setelah itu melainkan hanya terdengar laungan suara "Tukang Arah" dan sahutan "Pekerja-Pekerja" yang girang melaksanakan arahan "Tukang Arah". Kalau ada yang tidak berpuas hati kita senyap-senyap berjumpa dan berbincang dengan "Tukang Arah". Setelah selesai suara "Tukang Arah" bergema lagi dan sahutan girang para "Pekerja" kembali menggamatkan suasana. Bukankah itu lebih harmoni.
Rasulullah s.a.w. adalah insan pilihan, utusan terakhir yang diutus untuk menyampaikan risalah Ar-Rahman keseluruh alam. Baginda adalah contoh teladan yang terbaik dan sememangnya menjadi ikutan dalam kehidupan muslim pada hari ini. Keindahan akhlak Rasulullah s.a.w. dibuktikan dalam Al-Quran melalui firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah s.a.w. itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari Kiamat dan yang banyak mengingati Allah."
Berdasarkan dalil yang dinyatakan di atas, dapat dibuktikan bahawa keindahan akhlak Rasulullah s.a.w. telah diiktiraf oleh Allah SWT sehingga dirakamkan di dalam kitab suci al-Quran untuk dijadikan teladan mahupun "role model" kepada umat baginda dari dahulu hinggalah sekarang, kerana segala yang termaktub dalam al-Quran itu adalah kekal dan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek zaman.
Petikan kenyataan "Akhlak Rasulullah adalah al-Quran" merupakan kata-kata yang diungkapkan sendiri oleh Saidatina Aisyah r.a. sebagai penghargaan dan kekaguman seorang isteri terhadap Rasul tercinta.
Akhlak Rasulullah s.a.w., diumpamakan indah bagaikan Al-Quran, ini kerana baginda adalah Rasul (utusan Allah) yang dipilih untuk menyampaikan amanat dari Tuhannya dan melaksanakan tanggungjawab menyampaikan risalah dakwah kepada seluruh alam, sehinggalah ke hari ini. Kita dapat merasakan seruan dakwah baginda dengan nikmat iman dan Islam yang menjadi tunjang akidah kita, dibuktikan lagi dengan turunnya kitab suci al-Quran yang merupakan kalam Allah dan mukjizat yang paling berharga dianugerahkan kepada baginda Rasulullah s.a.w., melalui perantaraan malaikat Jibrail, juga merupakan sumber utama perundangan Islam, di mana di dalamnya terkandung seluruh peraturan hidup yang syumul meliputi seluruh aspek kehidupan dan tetap menjadi rujukan seluruh umat manusia pada hari ini.
Akhlak Rasulullah s.a.w. seiring dan sepadan seperti mana yang digariskan oleh Allah SWT di dalam ayat-ayat-Nya, yang menjadi tatapan pada umat terdahulu dan menjadi teladan kepada umat yang kemudian. Sesungguhnya, beruntunglah umat Nabi Muhammad pada hari ini, sungguhpun tidak berada di zaman baginda, namun sunnah dan sirah baginda tetap tersemat di hati, lantaran kecintaan terhadap Allah dan Rasulnya serta beriman dan menyakini apa yang di bawa oleh baginda Rasulullah s.a.w..akhlak terpuji
Rasulullah s.a.w.adalah qudwah hasanah yang tidak dapat ditandingi lantaran peribadinya yang terpuji dan dikagumi sendiri oleh kawan mahupun lawan. Manakan tidak, Rasulullah tetap melemparkan senyuman tatkala dicaci, dihina dan dipersenda oleh musuh-musuh Islam sewaktu baginda menyampaikan risalah dakwahnya. Malahan, baginda sentiasa merendah diri, berbicara dengan lemah lembut dan untuk menarik mereka mendekati Islam.
Peribadi Rasulullah s.a.w. sungguh anggun dan menawan, sungguhpun bergelar nabi, namun baginda sedikit pun tidak menyombong dan tidak riya' dengan kedudukannya yang sangat mulia di sisi Allah SWT. Tidak seperti kebanyakan pemimpin pada hari ini, yang angkuh dan bongkak dengan gelaran, pangkat dan jawatannya yang hanya sementara sahaja. Baginda Rasulullah s.a.w. merupakan seorang sahabat dan teman yang setia, seorang suami yang mithali dan lembut hati, seorang bapa yang penyayang dan penyabar, seorang pemimpin yang adil, bijaksana dan berkarisma juga hamba yang wara' dan tawadhuk serta taat kepada Allah SWT.
Keindahan akhlak Rasulullah s.a.w. sesuai dengan gelaran yang di bawa, iaitu al- amin yang bermaksud yang dipercayai, dan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai pembawa risalah dan memberi petunjuk dan jalan dari perkara kemungkaran kepada kema'rufan, perkara batil kepada yang haq, dan kejahilan kepada cahaya.
Rasullah s.a.w. diutus pada zaman Jahiliyyah di mana umat manusia pada ketika itu hidup dalam keadaan kemunduran, kejahilan, persengketaan, penindasan, porak- peranda dan saling berbunuhan. Oleh yang demikian, turunlah ayat Allah dalam Surah Ibrahim ayat 4 yang bermaksud:
"Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, agar dia dapat memberi penjelasan kepada mereka. Maka Allah menyesatkan kepada siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dia Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana."
Justeru itu, perlantikan dan pemilihan baginda sebagai Rasul utusan Allah adalah membawa tanggungjawab besar untuk memperbetulkan keadaan masyarakat pada ketika itu, dan menunjukkan sinar kebenaran ke arah hidup yang diberkati Allah.
Demikianlah, besarnya peranan baginda sebagai penghulu sekalian nabi, pemimpin pejuang Islam, dan penyelamat sekalian ummat. Ini disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam surah Saba' ayat 28 yang bermaksud:
"Dan tidaklah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."
Sungguhpun begitu, berat dan amat payah tanggungjawab baginda, Rasulullah tetap bersabar dan istiqamah dalam perjuangannya menyampaikan risalah dakwah hingga ke hembusan nafasnya yang terakhir. Inilah bukti kasih sayang baginda terhadap umatnya. Meskipun berhadapan dengan saat ajal datang menjemput, baginda sentiasa mengingati umatnya, dengan kata-kata terakhir yang keluar dari mulut baginda: "Ummati, ummati, ummati..." (Umatku, umatku, umatku).
Allahu akhbar... Maha suci Allah, begitu agung peribadimu, sungguh menawan tutur bicaramu, terpaut hatiku menghayati sirah hidupmu. Engkaulah Rasul pilihan, engkaulah pemimpin sanjungan, engkaulah suri teladan, engkaulah permata yang sentiasa bergemerlapan, engkaulah sinar yang menerangi seluruh alam... engkaulah pujaan setiap insan.
Rasulullah diutus membawa cahaya, memberi sinar pengharapan, menunjuk jalan kepada kebenaran. Keperibadian baginda tidak dapat disangkal lagi, keluhuran baginda tidak dapat diragui, keikhlasan baginda tidak dapat ditandingi, pemergian baginda tiada lagi pengganti.
Wahai seluruh umat manusia, bangunlah dari lenamu, sedarlah dari angan-anganmu, bukalah mindamu, asahlah bakat dan kemampuanmu, persiapkan dirimu untuk meneruskan perjuangan dakwah baginda Rasulullah s.a.w..
Jika dilihat situasi remaja pada hari ini, tiada langsung yang mencerminkan keperibadian yang luhur seperti mana yang ditunjukkan oleh contoh teladan, Rasulullah s.a.w..
Andainya kita mengambil artis-artis sebagai ikutan dan role model dalam kehidupan kita, dimanakah nilai iman kita sebagai umat yang mengaku Islam?
Wahai para remaja yang dikasihi sekalian, duduklah seketika, berfikirlah sejenak, patutkah kita mengambil artis sebagai ikutan, wajarkah kita meninggalkan Rasulullah s.a.w.insan agung sebagai panduan dalam kehidupan kita? Sudah pasti jawapannya tidak sama sekali. Tergamakkah kita mengagung-agungkan artis, memuja- muja kekasih sebagai tanda sayang kita kepadanya? Sebaliknya melupakan selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah s.a.w. sebagai bukti cinta agung kepadanya? Persoalan ini perlu dijawab sendiri oleh umat yang mengaku hamba kepada Allah yang Maha Esa dan umat yang inginkan syafaat baginda di padang Mahsyar kelak.
Perginya baginda meninggalkan umat, mewasiatkan dua perkara yang paling berharga tiada tandingannya, iaitu kitab suci al-Quran dan Sunnah nabi s.a.w.. Barangsiapa yang berpegang teguh kepada keduanya, maka ia tidak akan sesat selamanya, Insya' Allah.
Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita duduk sejenak merenung kejadian sendiri, menginsafi kekurangan diri, kembali ke pangkuan IIahi. Apakah kita benar-benar ingin menjadi ummat baginda? Apakah peranan dan tugas kita sebagai umatnya? Layakkah kita bergelar umatbaginda? Beranikah kita memohon syafaat baginda di akhirat kelak? Apakah yang telah dikorbankan untuk Islam? Apakah yang telah kita sumbangkan untuk perjuangan dakwah baginda? Persoalan inilah yang sepatutnya berlegar-legar di fikiran kita, seandainya mengaku bahawa kita adalah ummat Rasulullah s.a.w. Duduklah sebentar, fikir-fikirkan, tepuklah dada, tanyalah iman...
Sungguhpun kita tidak dapat menjadi sesempurna nabi, tetapi... berazamlah untuk memperbaiki akhlak dan peribadi... Sesungguhnya Allah sentiasa ada bersama kita, dan Dia sentiasa menolong hamba-Nya yang suka kepada kebaikan
DMPKPJ mengucapkan tahniah diatas lantikan semula Utz. Osman Mustapha sebagai Pesuruhjaya PAS Sarawak bagi sesi 2009/2011. Walaupun sudah hampir sebulan PJ dilantik, sehingga kini AJK Badan Perhubungan PAS Sarawak belum dibentuk. Apa masalahnya? Untuk memastikan PAS bergerak kehadapan PJ mesti bertindak segera dan berani membuat perubahan. PJ mesti melantik semua anak Sarawak untuk memenuhi AJK badan perhubungan dan jangan sesekali melantik kakitangan/pegawai kerajaan sebagai AJK. Mereka ini penakut seperti yang selalu labelkan oleh Ketua Pemuda Sarawak.
4 Julai 2009, Sabtu. KUCHING. PAS Kawasan Petra Jaya telah mengadakan Bengkel Organisasi di salah sebuah bilik seminar di Kuching. Peserta yang hadir terdiri daripada AJK PAS Kawasan PJ, AJK Dewan Pemuda dan AJK Dewan Muslimat Kawasan PJ. Dalam ucapan aluan Yang Di Pertua Kawasan PJ, Cikgu Shukri telah mengingatkan bahawa sesebuah organisasi yang berjaya adalah kerana sistem pengurusan yang baik, oleh itu beliau menyeru semua AJK agar memperkemaskan cara pengurusan setiap Lajnah. Dalam bengkel tersebut setiap Lajnah dan dewan telah membentangkan pelan tindakan strategik bagi menjayakan aktiviti-aktiviti PAS Kawasan PJ
Pembela sokongan tindakan robohkan pusat sembelihan babi.
Posted on Sunday, July 05 @ 07:00:00 MYT by Paktam
Perikatan Belia Bersatu Malaysia (Pembela) sebuah badan bukan kerajaan yang aktif di Kedah bersetuju dengan tindakan pihak Majlis Banadaraya Alor Setar merobohkan pusat sembelihan babi di Kampong Berjaya, Alor Setar. Tindakan MBSA tersebut dilihat amat wajar kerana mengikut mengikut budicara dan undang-undang untuk menjaga kepentingan masyarakat sekitar.
Setiausaha Agung Pembela, Basir Hj Ismail berkata, tindakan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan pusat sembelihan tersebut di lihat sebagai sesuatu yang perlu dan mendesak demi menjaga kualiti kehidupan masyarakat sekitar. Pembela difahamkan bahawa proses arahan pemindahan tersebut telahpun berjalan sekian lama sejak kerajaan Umno/Bn lagi
Cuma kini ia dilaksanakan setelah mengambilkira kepentingan rakyat di kawasan tersebut khususnya, di samping untuk memastikan pengusaha pusat sembelihan babi dapat menjalankan operasi di tempat yang telah dicadangkan oleh kerajaan.
Tinjauan Pembela ke tempat tersebut dan menemui beberapa orang penduduk sekiatr termasuk golongan peniaga di sekitar pusat sembelihan babi tersebut, sememangnya rasa kurang senang dengan kewujudan pusat sembelihan binatang tersebut.
“ Maklumat beberapa penduduk kepada Pembela ke kawasan tersebut bahawa pusat sembelihan tersebut mengeluarkan bau hanyir serta sisa pembuangan yang tidak teratur. Di samping, bangunan yang digunakan kelihatan usang dan tidak sesuai lagi digunakan, katanya
“Sehubungan itu, Pembela menyokong tindakan MBSA merobohkan pusat sembelahan babi tersebut bukan atas dasar perkauman, maupun anti kepada masyarakat Cina yang menjadi pengguna daging binatang tersebut, sebaliknya demi kesejahteraan majoriti rakyat di sekitar kawasan berkenaan, katanya.
Basir berkata lagi, sewajarnya pihak yang terbabit secara langsung dengan perniagaan babi tersebut bersikap terbuka menerima cadangan pihak kerajaan negeri supaya ia berpindah ke kawasan lain yang lebih sesuai, sekaligus tidak menganggu kualiti kehidupan rakyat sekitar, sekaligus menggelakkan kontroversi sperti yang berlaku beberapa hari lalu.
“Pembela yakin bahawa rakyat negeri Kedah maupun di Malaysia, termasuk orang Islam memahami hak masyarakat bukan Islam khususnya Cina untuk memakan ataupun berniagaa binatang ini, tetapi mereka wajar memahami sensitiviti majoriti masyarakat di kawasan berkenaan dan juga pihak MBSA yang mahukan supaya pusat sembelihan itu berpindah ke tempat lain, katanya.
Berhubung dengan tindakan parti DAP mengambil keputusan keluar dari gabungan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, Basir berkata ia suatu tindakan terburu-buru serta tidak memperlihatkan semangat setiakawan dalam gabungan Pakatan Rakyat. Di samping ia mengambarkan DAP Kedah hanya mementingkan politik kepartian tanpa mengambilkira kepentingan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat.
“Bagi Pembela, parti DAP sepatutnya memahami bahawa tindakan yang di ambil oleh MBSA adalah mengikut undang-undang dan memihak kepada kepentingan rakyat terbanyak, bukannya untuk kepentingan segelintir penjual sahaja, apatah lagi bersikap perkauman, katanya.
Sehubungan itu, Pembela berikrar berdiri teguh di belakang kerajaan Kedah yang dipimpin oleh YAB Menteri Besar, Dato Seri Ustaz Hj Azizan Abdul Razak, bersikap tegas dalam menangani isu ini, walaupun terpaksa berhadapan tindakan politik oleh parti DAP yang membuat keputuasan keluar dari gabungan Pakatan Rakya dan menjadi Adun Bebas.